KUALA LUMPUR:Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyifatkan sebarang pengisytiharan darurat adalah suatu cadangan tidak bijak untuk menguruskan krisis pandemik COVID-19 dan ketidakstabilan politik negara. 

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, situasi sekarang tidak memerlukan langkah itu diambil, malah alasan untuk memenuhi keperluan darurat juga tidak kukuh.

Sehubungan itu, beliau berkata, MAPIM menolak sebarang manipulasi politik untuk melumpuhkan fungsi institusi demokrasi negara demi menyelamatkan kedudukan dan kuasa politik sesuatu pihak.

"Kedudukan rakyat akan semakin parah jika darurat menyekat perjalanan harian rakyat yang sudah berada dalam keadaan tenat.

"Jutaan rakyat bawahan akan terjejas baik dari segi ekonomi mahupun sosial jika darurat diisytiharkan.

"Walau apapun istilah darurat diguna seperti darurat pentadbiran, darurat kesihatan atau darurat politik, namun darurat secara perundangan akan tetap menjejaskan kehidupan rakyat dan mempunyai implikasi kepada ekonomi dan sosial negara," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, pihaknya tidak menolak wujud keghairahan ahli politik untuk bersaing antara satu sama lain dan berhujah demi kesejahteraan rakyat.

Katanya, akan tetapi dalam masa yang lain aktif melobi jawatan dan tawar menawar jawatan.

"Pandemik COVID-19 dan penguncupan ekonomi hanya bermain di atas bibir ahli politik tanpa komitmen yang tulen," katanya.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Darurat? Ini perkembangan politik negara

BACA: Apa itu Darurat? Ini 15 perkara anda perlu tahu

BACA: Netizen mahu darurat kesihatan, bukan PRU-15!

Sementara itu, berikut merupakan cadangan MAPIM bagi mengelakkan pengisytiharan darurat dilakukan :

1. Meneruskan perjalanan Parlimen untuk membahaskan penyelesaian kepada krisis kesihatan awam dan ekonomi negara.

2. Lantik Perdana Menteri yang memiliki sokongan majoriti yang kukuh di Dewan Rakyat dan wujudkan jemaah menteri Kabinet berdasar merit.

3. Wujudkan pelan setahun melawan COVID-19 yang menggabungkan kekuatan seluruh agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta swasta dalam sebuah pelan yang komprehensif.

4. Wujudkan pelan tindakan ekonomi domestik yang kuat untuk menyegarkan dan mengukuhkan permintaan lokal.

5. Adakan dasar menyeluruh dan modus operandi yang terperinci untuk mengawal penyakit berjangkit  COVID-19.

6. Wujudkan mekasnisma yang benar-benar telus dan terkawal pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa untuk membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilhan Raya Kecil (PRK) dijalankan secara pos dan atas talian atau cara yang lain yang difikirkan sesuai.