Maqis Johor rampas 24,925kg susu formula dari Amerika Syarikat

Bernama
Julai 13, 2021 06:27 MYT
Sebuah kontena yang membawa 24,925 kilogram (kg) susu tepung dari Amerika Syarikat ditahan di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini, kerana mengemukakan sijil kesihatan dengan nombor siri berbeza pada labelnya. - MAQIS
JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor merampas 24,925 kilogram susu formula bernilai RM304,583 dari Amerika Syarikat di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini semalam.
Pengarahnya Hizzuan Hasim berkata, rampasan itu susulan pemeriksaan oleh pihaknya pada 12 tengah hari terhadap sebuah kontena membawa 997 beg susu formula yang didapati mengemukakan sijil kesihatan yang berbeza dengan nombor siri pada labelnya.
"Hasil siasatan mendapati nombor kilang pemprosesan yang dinyatakan di dalam sijil kesihatan yang diikrar serta label bungkusan adalah berbeza. Justeru, kesemua susu formula itu dirampas untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya tindakan mengimport apa sahaja jenis keluaran pertanian dengan menggunakan atau memberikan permit, lesen, perakuan atau dokumen yang palsu atau tidak tepat serta mengelirukan adalah suatu kesalahan.
Hizzuan berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
-- BERNAMA
#susu #susu formula #Amerika Syarikat #maqis #Johor #pelabuhan #Pasir Gudang #sijil kesihatan