TUMPAT: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup ayam hidup menggunakan perahu di Pengkalan Haram Tanjung, Pengkalan Kubor di sini kelmarin.

Pemangku Pengarah Maqis Kelantan Mohd Ariwadi Salleh berkata rampasan sebanyak 17 ekor ayam gajah yang bernilai RM1,700 bagi tujuan pembiakbakaan itu ditahan ketika cubaan dibawa masuk dari Thailand ke Malaysia melalui tebing Sungai Golok.

"Bahan rampasan ini ditinggalkan di tebing sungai, manakala pengemudi perahu berkenaan berjaya meloloskan diri.

"Perbuatan mengimport ayam hidup adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya kesemua dagangan itu ditahan untuk tindakan lanjut kerana tidak mempunyai dokumen yang sah.

-- BERNAMA