MAQIS rampas marjerin dari Ireland bernilai RM116,211 guna permit palsu

Bernama
April 7, 2021 02:36 MYT
MAQIS akan terus menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus memperkasakan semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan dan tumbuhan.
SHAH ALAM: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 7,824 kilogram produk tenusu marjerin dari Ireland bernilai RM116,211 kerana menggunakan dokumen yang mengelirukan, Isnin lepas.
Pengarah MAQIS Selangor Zamri Hisham berkata rampasan itu dibuat selepas menjalankan pemeriksaan rutin pada 10 pagi.
“Ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengemukakan permit yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya MAQIS akan terus menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus memperkasakan semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.
-- BERNAMA
#Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia #Zamri Hisham #Produk Tenusu #marjerin #Ireland #maqis #Selangor #rampasan #dokumen mengelirukan #pintu masuk negara #kawalan penyakit #permit palsu