Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menjelaskan esok dakwaan rasuah mengenai suatu perjanjian hartanah di Melbourne, Australia.

Difahamkan, pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa akan berbuat demikian pada sebuah sidang media.

Ini susulan sebuah laporan suratkhabar Australia The Age yang hari ini mendedahkan MARA telah dikaitkan dengan pembelian sebuah hartanah di Melbourne dengan harga yang melambung.

Laporan itu mendakwa, jutaan ringgit dana kerajaan telah digunakan oleh seorang pegawai MARA berpangkat tinggi, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik, untuk membeli sebuah blok apartmen di Melbourne, Dudley International House, dalam satu perjanjian hartanah.

Laporan itu mendakwa, harga pasaran hartanah tersebut adalah A$17 juta (RM51.5 juta) tetapi telah dibeli oleh MARA pada harga A$22.5 juta (RM65 juta).

Pemaju hartanah Australia yang didakwa terlibat, Peter Mills, tahun lalu mengakui di hadapan mahkamah sivil bahawa perbezaan A$4.75 juta (RM13.7) itu telah 'dibayar sebagai rasuah bagi pihak-pihak di luar negara'.

Rasuah tersebut didakwa dibayar melalui invois palsu yang dikeluarkan kepada pemaju Australia daripada syarikat-syarikat Malaysia.

Invois menuntut bayaran bagi perkhidmatan yang tidak wujud, termasuk "nasihat profesional" dan "yuran perundingan."

Menurut laporan itu lagi, blok apartmen tersebut adalah asrama pelajar yang dibeli oleh MARA di pinggir bandar Timur Caulfield dan menempatkan 115 pelajar MARA yang belajar di Monash University.

BACA: SPRM teliti laporan dakwa pegawai MARA terlibat penipuan di Melbourne