MARA hentikan tajaan kepada pelajar baharu Universiti Taylor's

Astro Awani
September 21, 2015 09:24 MYT
ISMAIL SABRI: Saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Mara (Datuk Ibrahim Ahmad) untuk melihat perkara ini... kami akan menghentikan penajaan kepada (pelajar) pengambilan baharu atas pelbagai sebab.
Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menghentikan penajaan bagi pelajar baharu yang melanjutkan pengajian ke Universiti Taylor's atas pelbagai sebab, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun, beliau berkata pelajar tajaan Mara yang sedang menuntut di universiti berkenaan dibenarkan meneruskan pengajian mereka.
"Saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Mara (Datuk Ibrahim Ahmad) untuk melihat perkara ini... kami akan menghentikan penajaan kepada (pelajar) pengambilan baharu atas pelbagai sebab.
"Bagaimanapun, kami tidak akan menghentikan penajaan pelajar sedia ada (di Universiti Taylor's) kerana dikhuatiri akan menimbulkan masalah pada masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Jualan Teknologi Maklumat (IT) @ Busana di Menara Mara di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad.
#Ibrahim Ahmad #Ismail Sabri #MARA #penajaan #pengajian #Universiti Taylor's