KUALA NERANG: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengesahkan bahawa telah menerima sebanyak 74,472 permohonan dari seluruh Malaysia bagi kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) untuk tahun 2022.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jumlah berkenaan melibatkan seramai 57,122 permohonan untuk ke tingkatan 1 dan 17,350 permohonan untuk ke tingkatan 4.

Sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan Ujian Kecenderungan Kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (UKKM), Ujian Khas Ulul Albab dan Ujian Teknikal melibatkan kesemua pemohon yang akan dijalankan secara berperingkat bermula 3 Disember 2021 sehingga 30 Januari 2022.

Beliau turut memaklumkan bahawa semakan tarikh, masa dan tempat ujian boleh dibuat secara atas talian bermula 29 November 2021 pada jam 10.00 pagi melalui Portal Rasmi MARA yang mana pemohon turut akan menerima notifikasi menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau emel yang telah didaftarkan semasa permohonan.

Tambahnya, kriteria pemilihan akan dibuat mengikut kouta yang telah ditetapkan yang mana fokus utama pengambilan adalah melibatkan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

"(Saya nak maklumkan) MARA menerima sejumlah 57,122 permohonan untuk ke tingkatan 1 dan 17,350 permohonan ke tingkatan 4 bagi tahun 2022.

"(Pemilihan akan dibuat berdasarkan penilaian sebelum ini di mana), kita (ada kita) punya peratusan untuk B40 (iaitu 89%), kita ada peratusan untuk M40 (10%) dan kita juga ada sedikit untuk T20 (1%), tetapi majoriti pelajar (yang akan dipilih) adalah pelajar B40 terutama sekali yang datang dari kampung (atau kawasan luar bandar)," jelasnya.

Mahdzir berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Buku dan Topi Keledar sumbangan Yayasan Perintis Malaysia di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padang Terap pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyatakan bahawa kesemua calon akan menduduki Ujian Khas terbabit di 61 buah pusat ujian terpilih yang melibatkan 53 buah MRSM di seluruh negara serta lapan buah Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang lain di Selangor dan Negeri Sembilan.