ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah/Perlis menggagalkan cubaan menyeludup keluar 695 kilogram (kg) daun ketum, dianggarkan bernilai RM125,000 di timur Pulau Tanjung Dendang dekat Langkawi, awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Kedah/Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata serbuan dan rampasan itu dilakukan pada 3.30 pagi, pada kedudukan 5.0 batu nautika dari pulau tersebut.

Katanya sepasukan anggota yang menjalankan risikan dan intipan berjaya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan, yang bergerak dalam keadaan gelap di sekitar perairan berkenaan.

"Sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah digerakkan ke lokasi untuk membuat serbuan dan pemeriksaan. Sebaik menyedari pasukan keselamatan, tekong bot bertindak memecut laju ke arah perairan sempadan Malaysia-Thailand, dan meloloskan diri dengan membuang sejumlah objek ke laut.

"Pemeriksaan ke atas objek yang dibuang telah membawa kepada penemuan 57 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dianggarkan seberat 695kg," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zawawi berkata kesemua daun ketum itu dipercayai untuk diseludup ke negara jiran menggunakan laluan laut, berikutan kawalan ketat di darat.

"Harga pasaran yang tinggi di negara jiran sehingga mencecah RM180 sekilogram juga dilihat sebagai faktor pendorong kepada aktiviti ini, dengan disokong oleh faktor upah 'pengangkut' yang lumayan bagi setiap hantaran dianggarkan sekitar RM350 hingga RM800 berdasarkan berat muatan," katanya.

Menurutnya lagi, kesemua hasil rampasan dibawa ke jeti Maritim Malaysia, Bukit Malut, Langkawi untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Katanya Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penyeludupan barang terlarang ini dan mengalu-alukan maklumat daripada seluruh masyarakat untuk melaporkan sebarang jenayah atau kecemasan di laut ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS999.

-- BERNAMA