SEREMBAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan merampas 31 set bubu naga yang disyaki disalahgunakan nelayan di perairan Lukut, Port Dickson, dekat sini semalam.

Pengarahnya Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, ketika operasi rutin pada 4 petang semalam, aset Maritim Malaysia menemukan botol plastik mencurigakan disyaki penanda bubu naga, terapung di empat lokasi berasingan sekitar kedudukan 0.4 batu nautika barat daya muara Sungai Lukut.

"Kesemua bubu naga itu dirampas kerana penggunaannya tidak dibenarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia sejak November 2018, selain boleh menjejaskan pertumbuhan dan kemusnahan hasil laut kerana benih serta ikan kecil akan terperangkap dalam bubu tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata Maritim Malaysia akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan, serta memastikan pematuhan keselamatan di laut.

Justeru, katanya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kesalahan jenayah dan kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim di talian 06-3876730 dan 999 yang beroperasi 24 jam.

-- BERNAMA