SHAH ALAM : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersedia hadapi ancaman pergerakan keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya menjelang Aidilfitri.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, satu operasi khas musim perayaan bakal dilancarkan bagi membanteras aktiviti penyeludupan keluar masuk PATI ke Malaysia.

“Penyeludup PATI ini mungkin beranggapan penguatkuasaan undang-undang yang dilaksanakan Maritim Malaysia pada bulan Ramadan agak longgar, namun mereka salah kerana operasi dilaksanakan seperti biasa dan pengumpulan maklumat berhubung aktiviti sindiket penyeludup sedang dikumpulkan.

"Maritim sentiasa bersedia dan maklum tentang modus operandi terbaharu sindiket di mana mereka telah mempromosikan kegiatan mereka dengan kaedah baharu iaitu menerusi saluran-saluran tertentu seperti media sosial bagi menarik minat PATI untuk pulang ke negara asal melalui jalan yang tidak sah menggunakan perkhidmatan haram bot pancung," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Saiful berkata, pihaknya sedang memantau trend ini dan telah mengenal pasti beberapa lokasi sasaran di perairan Selat Melaka bermula dari Pulau Pinang hingga ke timur Johor.

Tambahnya, maritim akan mempertingkatkan pengawasan radar Sistem Pengawasan Maritim Laut (SWASLA).

"Kita juga memperbanyakkan lagi rondaan keselamatan menerusi aset laut dan udara di kawasan yang telah dikenal pasti menjadi sasaran sindiket terutama di kawasan berhampiran negara jiran sama ada di Selat Melaka dan timur Sabah," ujarnya.

Tegas Saiful, pihaknya membantah sekeras-kerasnya kegiatan sindiket ini dan akan bekerjasama dengan agensi sahabat bagi mengumpulkan segala maklumat agar kegiatan tersebut dapat dibanteras bersama.

Justeru, Maritim Malaysia memohon kerjasama orang ramai khususnya komuniti maritim untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan PATI ini dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim (POMAR) di talian 03-89434001 serta mana-mana Pusat Operasi Maritim (PUSOP) yang berhampiran di seluruh negara atau di talian 999. - Sinar Harian