KUALA LUMPUR: Kejayaan Maryam Muzamir mengharumkan nama negara dengan tiga pingat emas dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Kanada ke-6 (iCAN 2021), di Toronto, Kanada, bulan lepas mendapat perhatian program bual bicara terkenal, The Late Late Show with James Corden terbitan stesen CBS di Amerika Syarikat.

James Corden menyifatkan Maryam sebagai luar biasa kerana dalam usianya yang masih muda tampil dengan idea inovasinya dan memenangi tiga pingat emas di iCAN 2021.

"Izinkan saya memberitahu anda, anda mungkin pernah mendengar mengenai gadis ini, sungguh luar biasa - Maryam Muzamir. Dia seorang gadis berusia 11 tahun di Malaysia.

"Dia mendapati sisa makanan biasa - kerang makanan laut - berguna dan dia menukar cengkerang itu menjadi makanan haiwan ternakan baru yang sihat," kata Corden dalam segmen pendek dalam satu episod rancangannya pada 23 September lalu. 


Kejayaan Maryam turut mendapat pujian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengucapkan syabas dan tahniah kepada murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist, Kuantan, Pahang itu.

Maryam beroleh kejayaan dalam pertandingan inovasi dan reka cipta terbesar di benua Amerika Utara itu selepas mencipta inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut.

Maryam bukan sahaja mengenepikan 600 peserta lain dari 70 negara, tetapi beliau juga menjadi pemenang termuda dalam pertandingan tersebut.

Tahniah, adik Maryam!