PEP Guardiola menegaskan Manchester City sedang berusaha sebaik mungkin ketika mereka semakin tercicir mata dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas seri 1-1 dengan West Ham.

Phil Foden hadir daripada bangku simpanan untuk menafikan jaringan pembukaan Michail Antonio tetapi City tidak mampu menghasilkan jaringan kemenangan apabila Raheem Sterling dan Riyad Mahrez gagal melunaskan peluang terhidang.

Lapan mata daripada lima perlawanan yang diperoleh City merupakan permulaan terburuk kelab sejak 2014-15, ketika mereka bergelut untuk mempertahankan gelaran EPL di bawah kendalian Manuel Pellegrini.

Foden masuk menggantikan Sergio Aguero, yang mengalami kecederaan hamstring selepas turun dalam tiga perlawanan minggu ini sejak pulih daripada pembedahan meniskus.

Keringat Aguero diperah dalam setiap perlawanan selepas Gabriel Jesus direhatkan, sementara pertahanan Aymeric Laporte, Nathan Ake dan Benjamin Mendy turut tidak dapat beraksi di Stadium London.

Fernandinho dijangka terlepas enam minggu selepas mengalami kecederaan ketika menghadapi aksi Liga Juara-Juara berdepan Porto, sementara Laporte, Mahrez dan Ilkay Gundogan diuji positif coronavirus.


Guardiola diberikan peluang untuk menurunkan semula Kevin De Bruyne daripada bangku simpanan selepas meratapi musim yang padat selepas mara ke peringkat akhir Liga Juara-Juara (UCL) Ogos lalu mula memberikan ancaman.

"Saya lebih suka mendapat hasil, tetapi saya akan terus menganalisis keadaan yang sedang kami hadapi," katanya.

"Kami bergelut untuk banyak kecederaan, kekurangan persediaan dan masa pemulihan yang terhad antara perlawanan yang sangat sukar setakat ini.

"Pemain-pemain melakukan segalanya, memberikan segalanya di atas padang. Mereka berjuang dan sangat letih pada akhirnya."