PUTRAJAYA: Kerajaan Negeri Kelantan meminta dana berjumlah RM8 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah air yang berlarutan di negeri tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bagaimanapun belum bersetuju dengan angka tersebut dan menegaskan akan meneliti masalah tersebut sebaiknya, termasuk dari segi pengurangan kos.

Menurutnya, aspek pengurusan dan ketelusan juga perlu diambil kira namun tanggungjawab utama adalah untuk memastikan rakyat memperoleh kemudahan air sesegera mungkin.

Tambah beliau, dalam pertemuan bersama Kerajaan Negeri Kelantan dan Sabah pada Khamis, PM Anwar memaklumkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan memantau isu tersebut.

Selain itu, ia juga akan melibatkan Kementerian Ekonomi dengan turut melibatkan kerjasama daripada kerajaan negeri.

"Sabah bangkitkan isu keperluan untuk meminjam dana untuk meneruskan projek membina empangan. Saya kata saya akan lihat dulu dan kita cuba percepatkan.

"Selain itu, kemajuan projek di sana adalah memuaskan. Masalah di Kelantan lebih serius kerana permintaan kewangan juga lebih besar.

"Saya kata kita akan pertimbang dulu dan pastikan ia telus, kerjanya juga efisien dan mesti mahu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan. Tiada istilah kerja sendirian dalam isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Awam Malaysia Madani Dalur di Putrajaya pada Khamis.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memuji inisiatif menyediakan perumahan buat penjawat awam kerana isu tersebut merupakan isu yang terus menekan rakyat.

Beliau juga menegaskan polisi pemaju perumahan menyediakan projek untuk rakyat juga harus dikuatkuasakan dengan lebih ketat.

"Polisinya sudah ada tapi ia tidak mengikut pada kepantasan dan skala yang kita mahukan.

"Itu sebab Kor Ming diarahkan untuk meneliti perkara ini, kenakan syarat baharu. Kenapa hanya kerajaan sediakan sebegitu sedangkan kita ada pemaju yang bina projek besar.

"Itu sebahagian daripada tanggungjawab, sekurang-kurangnya rumah untuk pekerja mereka sendiri," ujarnya.