Masih terlalu awal untuk mengaitkan kenderaan yang ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Samak dengan Timbalan Pengarah Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kevin Anthony Morais.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya setakat ini masih lagi menunggu laporan unit Forensik dan Jabatan Kimia berkenaan penemuan kenderaan tersebut sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai kaitan dengan pemilik sebenarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya yakin tindakan itu merupakan aktiviti jenayah terancang berdasarkan no casis kereta yang telah diubah bagi menyukarkan proses pengecaman dilakukan.

Katanya, pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada unit forensik sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan‎ khususnya di laman sosial dan media alternatif.

Menurutnya lagi, mereka mendapatkan maklumat mengenai kereta yang mirip Honda Accord atau Proton Perdana itu melalui orang awam sekitar 10.10 pagi Sabtu.

Menurutnya lagi, tiada barang kes yang dijumpai dalam kenderaan bukti atau bahan bukti kukuh untuk mengaitkan kenderaan tersebut dengan pegawai berkenaan.

Kes akan disiasat di IPD Sentul manakala pihaknya akan mengendalikan aspek penemuan kereta terbakar itu di bawah Seksyen 435, khianat dengan api.

"Saya ingin menegaskan di sini buat msa ini masih terlalu awal untuk kita viralkan perkara ini dengan seseorang yang begitu sensitif dan saya harap perkara ini dapat dihentikan dahulu dan kita tunggu laporan untuk saya harap perkara ini dapat dihentikan dahulu sehingga laporan polis selesai.

"Ia adalah jenayah terancang, namun begitu kita tidak boleh kaitkan kenderaan ini dengan personaliti yang telah diviralkan sehingga kita mendapatkan pengesahan daripada pakar forensik dan juga jabatan kimia barulah kita boleh mengesahkan kenderaan itu milik identiti yang telah diviralkan itu," katanya ketika ditemui di jeti di sini, pada petang Ahad.


Seorang saksi yang menjumpai kereta terbakar di sebuah ladang kelapa sawit dekat sini berkata kenderaan tersebut masih lagi berasap ketika beliau menemuinya di lokasi kejadian pada awal pagi Sabtu.

Polis mengesahkan terdapat unsur jenayah dalam kes berkaitan dengan Morais, yang sebelum in pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Pendakwaan di SPRM sebelum menyertai Jabatan Peguam Negara.

Laporan polis berhubung kehilangan Morais dibuat ahli keluarganya pada petang Sabtu selepas beliau gagal dihubungi.

Difahamkan kali terakhir dia dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta untuk keluar bekerja pada pagi Jumaat lalu, menggunakan kenderaan rasmi kerajaan dengan nombor pendaftaran WA 6264 Q.