PASIR PUTEH: Masih ada pihak tertentu kenakan caj tayammum jenazah COVID-19 melebihi kadar dibenarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Kadar yang dikenakan didakwa antara RM1,300 ke RM1,600.

Caj melampau ini melebihi kadar RM200 yang ditetapkan MAIK sebelum ini.

Ada juga kalangan kumpulan sukarelawan yang menguruskan jenazah secara percuma mendakwa waris jenazah COVID-19 dihalang daripada mendapatkan khidmat mereka.

Jelas Pengasas Tengku Harith Team Ventures, Tengku Harith Tengku Aziz, caj bayaran mahal ini masih berlaku walaupun MAIK telah keluarkan arahan.

"Masa musim pandemik ini, kita hadapi pelbagai masalah. Kita tidak dibenarkan memasuki hospital.

"Saya sudah banyak kali pertikaikan caj bayaran antara RM1,300 DAN RM1,800 ini namun ia masih berlaku walaupun arahan telah dikeluarkan oleh MAIK," kata Tengku Harith.

Beliau meminta supaya pihak berkuasa menetapkan pengurusan jenazah diserahkan kepada waris untuk Membuat pilihan dan bukannya ditentukan oleh pihak berkepentingan.

Astro AWANI awal bulan ini mendedahkan luahan waris dan pihak pengurusan jenazah berkenaan berhubung caj tayammum.

Selain MAIK, isu itu turut mendapat perhatian Kerajaan pusat dan negeri.

BACA: Kos urus jenazah: Siasatan sedang dijalankan, pihak terlibat akan dipanggil

TONTON: Pengurusan Jenazah | Waris dedah dikenakan bayaran RM1,400

MAIK sebelum ini turut menetapkan waris boleh menggunakan khidmat pegawai masjid atau iman mukim untuk urusan berkenaan di unit forensik hospital.

TONTON: Jenazah COVID-19 | Kerajaan negeri Kelantan setuju bayar kos tayamum

Ketika ini terdapat tiga pertubuhan amal yang menjalankan kerja-kerja pengurusan jenazah secara percuma di Kelantan yang mempunyai jurumandi yang mahir serta lebih 15 buah kereta jenazah.