KUALA TERENGGANU: Adalah masih terlalu awal untuk mengadakan perbincangan berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat setakat ini, tumpuan beliau difokuskan kepada kerja serta tugasnya selepas mengambil alih pimpinan negara.

"Kita akan bincang, bagi saya ia terlalu awal bagi saya satu bulan dua bulan ini (fokus) soal kerja, belum lagi bincang soal PRN," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan bersama Ketua Babatan dan Pegawai Kanan Persekutuan di Dewan Senat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada Khamis.

[TERKINI] Masih terlalu awal bincang Pilihan Raya Negeri - PM


Sementara ketika ditanya kesesuaian untuk mengadakan PRN melibatkan enam negeri itu, Ahli Parlimen Tambun itu menyerahkan kepada pucuk pimpinan kerajaan negeri yang berkenaan.

"Ini soal urusan negeri, cuma dia akan tetapkan yang sesuai kalau idealnya semua sekali tetapi ini bukan di bawah bidang kuasa saya," katanya lagi.

Dalam pada itu Anwar berkata, perbincangan juga akan dilakukan berhubung UMNO yang memberi bayangan akan bertanding bersama Pakatan Harapan (PH) dalam enam PRN akan datang dan memilih untuk kekal menggunakan logo Barisan Nasional (BN).

Terdahulu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berpendapat adalah lebih baik enam negeri yang belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengadakan PRN secara serentak iaitu selepas habis penggal.

Jelasnya, pembubaran DUN secara serentak di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan adalah wajar bagi memudahkan pengundi mendapatkan cuti selain memastikan kos untuk mengadakan PRN di kesemua negeri itu tidak terlalu tinggi.