KUALA LUMPUR : Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq (MSABA) di Bangsar hari ini menerima Anugerah Muhibah Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC)-MACROKIOSK kerana usahanya menyantuni masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan.

Panel hakim terdiri daripada pengarang media mengiktiraf inisiatif MSABA dalam memupuk semangat muhibah sejak beberapa tahun lepas, termasuk terbaharu mengundang doktor berbangsa Sikh daripada Kementerian Kesihatan memberi ceramah kepada jemaah masjid mengenai berhenti merokok pada Ramadan.

Presiden NPC Datuk Ahirudin Attan ketika menyampaikan anugerah berkenaan berkata inisiatif oleh NPC dan MACROKIOSK itu sebagai menghargai usaha mempupuk semangat muhibah dan setiakawan tanpa mengira bangsa, agama dan kewarganegaraan.

"Melalui anugerah ini, kami berharap dapat menyemarakkan lagi semangat muhibah dan membantu mewujudkan Malaysia yang lebih kukuh, berdaya tahan dan bersatu. Matlamat ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab pemimpin, tetapi juga tanggungjawab semua orang di Malaysia.

"Malaysia yang benar-benar muhibah hanya boleh dicapai melalui usaha kolektif oleh kita semua, di dalam bilik ini mahupun di luar sana," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Siri anugerah bulanan itu dilancarkan bulan lepas oleh NPC bersama syarikat penyedia platform penyelesaian perusahaan, MACROKIOSK bagi mengiktiraf mana-mana individu, kumpulan atau organisasi yang memaparkan semangat muhibah sebenar di Malaysia, dengan kumpulan pengarang media akan bergilir-gilir menilai calon untuk anugerah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MACROKIOSK Datuk Kenny Goh ketika mengucapkan tahniah kepada pemenang berkata aktiviti masjid berkenaan berjaya memikat hati panel.

"Kami berharap anugerah ini akan terus memberi inspirasi kepada orang lain untuk terus menerapkan semangat muhibah sebagai cara hidup kita di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ketua Imam MSABA Zakaria Yahya berkata pihak pengurusan masjid amat berbesar hati menerima pengiktirafan itu dan akan terus menerapkan semangat tersebut dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata antara aktiviti muhibah di masjid itu ialah Iftar Perpaduan untuk 30 orang bukan Islam dari Bangsar, majlis makan malam muhibah untuk 20 pemimpin masyarakat sempena Tahun Baharu Cina, serta Program Keharmonian melibatkan pengagihan barangan keperluan dan angpau kepada golongan B40 oleh pihak masjid.

Anugerah itu menawarkan hadiah wang tunai RM2,000, sijil dan baucar.

-- BERNAMA