KUALA LUMPUR: Pembentukan masyarakat Madani yang berbudi tinggi perlu dimulakan oleh barisan pemimpin.

Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Dr Afifi al-Akiti berkata, paling mudah untuk melihat ia diterjemahkan ialah menerusi perlakuan wakil rakyat di Parlimen.

Jelas Dr Afifi, pembentukan sesebuah tamadun dilihat daripada ketinggian akhlak dan jika ia menjadi sasaran kerajaan Madani, ia perlu dimulakan oleh barisan kempimpinannya.

"Apabila anda mempunyai budi, ilmu yang benar dan kebaikan, menjadi lelaki dan wanita yang baik barulah anda dianggap bertamadun.

"Dalam bahasa Arab, tamadun bermaksud selesa dengan kehidupan dan gembira. Kalau anda lihat sekarang masyarakat Madani datang dari bahasa Arab maksudnya daripada tamadun, masyarakat berbudi dan berjaya. Apabila anda tidak ada adab, anda tidak tahu di mana anda berada.

"Budi membentuk tamadun, lupakan dahulu tentang membentuk tamadun dalam masyarakat Madani, kita mesti mulakan di sini dalam Parlimen," katanya ketika menjadi panel Program Syarahan Parlimen 2.0 Tahun 2023 bertajuk 'Budi Membentuk Tamadun Dalam Konteks Masyarakat Madani' di Parlimen, pada Sabtu.

Budi, kata Dr Afifi, berasal daripada perkataan sanskrit membawa maksud common sense, namun apabila tiba di Nusantara, perkataan itu ditafsir sebagai satu bentuk tingkah laku berakhlak dan kebaikan.

"Satu lagi perkataan ialah adab. Ia bukan saja bermaksud bertindak dengan betul mengikut situasi tetapi juga bertindak sebagai gentleman atau budiman, serta bertamadun.

"Caranya? Dengan ilmu pengetahuan, kerana ilmu pengetahuan membenarkan kita untuk tahu apa yang patut kita lakukan,"jelasnya. 

Tambahnya lagi, tamadun bukan soal kedudukan atau lokasi di bandar dan kampung, tetapi berkaitan pemikiran dan kejayaan menterjemahkannya dalam perilaku.

Justeru, beliau menyenaraikan tadbir urus yang baik, menegakkan kedaulatan undang-undang dan menegakkan keadilan sebagai keperluan dalam masyarakat berbudi atau Madani.

"Tanpa keadilan, kita akan ada masalah kemiskinan. Apabila ada kemiskinan dalam masyarakat, kita tidak boleh cakap ia adalah masyarakat (yang mengamalkan) Islam yang sebenar.

"Malah dengan adanya kemiskinan, ia tidak layak dipanggil masyarakat bertamadun," katanya lagi.