KUALA LUMPUR: Tiada apa yang menggembirakan Syamsul Yusof selain daripada berterima kasih kepada semua penyokong filem tempatan yang menyumbang pada kejayaan naskhah Mat Kilau arahannya.

Dengan kutipan tiket sudah mencecah angka RM47 juta, secara jujurnya Syamsul mengakui, kejayaan Mat Kilau perlu dikongsi oleh seluruh pembikin filem di negara ini.

Menurut sutradara yang mewarisi legasi ayahnya, Datuk Yusof Haslam itu, kejayaan Mat Kilau mengutip RM47 juta dalam tempoh 11 hari tayangan menjadi bukti filem Melayu mempunyai masa depan yang sangat gemilang di tanah sendiri.

“Saya sendiri teruja dengan rekod yang dibuat Mat Kilau. Pelbagai perasan bercampur dalam diri. Barangkali, formula memenuhi kehendak dan selera penonton adalah rahsia utama kejayaan Mat Kilau.

“Memahami apa yang penonton hendak menjadi pegangan saya dalam berkarya. Setiap pembikin filem tidak boleh lari daripada memberi tumpuan pada aspek ini. Dalam masa sama, pengisian kandungan naskhah juga menuntut ketelitian untuk akhirnya menawarkan kejayaan,” kata pengarah berusia 38 tahun itu kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Syamsul Yusof (kanan) di lokasi penggambaran filem Mat Kilau. Di sebelah kiri ialah Beto Kusyairy.

Melihat kepada perkembangan semasa, Syamsul tidak menolak kutipan Mat Kilau boleh mencecah RM50 juta dalam masa terdekat.

Katanya, ini adalah kerana perbincangan mengenai karya itu masih hangat di pelbagai platform.

Sekalipun, Mat Kilau sudah jauh meluaskan pengaruh dan popularitinya dalam gelanggang filem tempatan, namun, Syamsul tidak mahu mendabik dada mendakwa itulah karya terbaik yang pernah dihasilkannya sepanjang dua dekad berjuang.

Sebaliknya, Syamsul mengakui, Mat Kilau juga punya sisi kelemahan dan kekurangan atau lebih tepat filem yang mengangkat keperwiraaan pahlawan Melayu itu bukanlah sempurna.

Dan kerana itu, dia tidak ambil hati, jauh sekali untuk berasa kecewa dengan ulasan, pandangan dan kritikan-kritikan negatif yan dibuat orang-orang filem, media atau netizen.

“Saya ketepikan ego saya semata-mata untuk memastikan karya saya diterima. Demikian juga dengan kritikan dan pandangan-pandangan negatif, saya terima dengan hati yang lapang kerana setiap orang ada penilaian mereka sendiri.

“Bahkan, daripada ulasan yang saya baca, ada yang saya ambil sebagai pengajaran dan iktibar. Saya tidak malu utuk mengakui yang saya masih dalam proses pembelajaran. Terima kasih kepada anda semua yang menonton dan berkongsi pandangan mengenai Mat Kilau, saya amat menghargainya,” ujar Syamsul yang mula terlibat dalam dunia filem seawal usia 18 tahun.

Sejak mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 23 Jun lalu, Mat Kilau mencetus fenomena dalam kalangan penggemar filem tempatan.

Filem terbitan Studio Kembara itu menampilkan pelakon-pelakon seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Datuk Rahim Razali, Datuk Jalauddin Hassan dan ramai lagi.

Sebagai kesinambungan kegemilangan itu, Syamsul memberitahu, dia berhasrat mencabar dirinya untuk menghasilkan karya yang lebih berwibawa pada masa depan.

Pengalaman selama dua dekad sebagai orang filem, kata Syamsul, telah mendedahkannya dalam lembah pemikiran yang luas perspektifnya.

“Saya sedar zaman sudah berubah, pola pemikiran masyarakat juga berubah. Dengan pengalaman mengarahkan lebih 10 filem, saya nekad untuk jadi pengkarya yang bijak kerana cabaran menjadi pengkarya hari ini jauh lebih mencabar berbanding generasi sebelum ini.

“Saya tidak boleh leka dan lalai, saya dan rakan-rakan pembikin filem harus selangkah ke hadapan untuk meletakkan nilai tambah dalam karya-karya kami,” Syamsul berkongsi rancangan masa depannya.