BENTONG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mempertimbangkan untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pelumba motosikal haram atau 'mat rempit' susulan kedegilan golongan itu yang suka menjadikan jalan raya sebagai litar lumba sehingga menyebabkan kematian.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli perkara tersebut akan diputuskan dalam masa terdekat.

“Kita telah mendapat arahan daripada pihak Kementerian Pengangkutan untuk meneliti semula dan memperketatkan semula tindakan-tindakan ke atas penunggang yang melakukan kesalahan membahayakan keselamatan orang awam di jalan raya.

“Kalau cerita pasal 'mat rempit' memang sekarang ini isu yang sangat hangat, jadi JPJ sedang meneliti dan kita akan ambil tindakan dan kita akan maklumkan dalam masa terdekat,” katanya selepas hadir meninjau Ops Lejang Fasa 1 di sini hari ini.

Ini katanya adalah untuk memastikan supaya kumpulan 'mat rempit' ini tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan undang-undang ketika di atas jalan raya.

Selain itu pihak JPJ juga mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai yang tahu kawasan-kawasan yang sering menjadi tumpuan kumpulan tersebut untuk melakukan aktiviti lumba haram.

“Kita minta kepada orang ramai untuk maklumkan kepada kita melalui saluran aduan trafik. Kita tahu ada kawasan-kawasan panas tertentu dan memang kita tengah pantau. JPJ dan PDRM sedang memerhatikan mereka dan kita akan ambil tindakan,” katanya lagi.

Buat masa ini jelasnya kesalahan-kesalahan utama yang masih dikesan dalam kalangan penunggang motosikal termasuklah tiada lesen memandu dan juga cukai jalan tamat tempoh.

Justeru pihak JPJ katanya tidak akan sama sekali berkompromi dengan kesalahan tersebut malah akan memastikan denda maksimum akan dikenakan terhadap pelakunya.

Dalam pada itu JPJ juga memberi amaran kepada semua penunggang motosikal berkuasa tinggi yang sering menjadikan laluan lebuh raya Karak sebagai litar lumba hari minggu dan bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

Jelasnya JPJ akan terus memastikan laluan tersebut selamat digunakan oleh pengguna jalan raya yang lain daripada sebarang masalah yang mungkin ditimbulkan oleh kumpulan tersebut.

Ops Lejang Fasa 1 ini katanya akan diteruskan ke seluruh negara bagi mengesan dan mengambil tindakan khusus kepada penunggang motosikal di negara ini.

Dalam operasi yang dijalankan di sepanjang laluan Gombak menghala Bentong hari ini, JPJ telah memeriksa lebih 3,000 buah motosikal dengan hampir 800 daripadanya telah dikenakan tindakan saman dan sita atas pelbagai kesalahan.

“Kesalahan  paling tinggi hari ini adalah tidak memiliki lesen memandu dan tidak memilik cukai jalan yang sah. Ini kesalahan  utama yang tidak sepatutnya berlaku.

“JPJ akan memperketatkan kaedah dan juga tindakan bagi penunggang-penunggang motosikal yang melakukan kesalahan jalan raya dan kita akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa yang lain,” katanya kepada media.

JPJ menyita motosikal dalam Ops Lejang Fasa 1 hari ini. - Foto Astro AWANI

Selain itu sejak 2018 hingga Jun 2022, sebanyak 3.7 juta motosikal telah diperiksa di mana 1.3 juta motosikal telah diambil tindakan.

Antara kesalahan tertinggi yang direkodkan adalah tiada Lesen Memandu (471,665 kesalahan), LKM tamat tempoh (313,174 kesalahan) dan tiada perlindungan insuran (299,772 kesalahan).