Sudahlah berlumba haram, sekumpulan sembilan 'mat rempit' mencabar polis yang mengejar mereka dengan melakukan aksi 'superman'.

Tindakan itu membawa padah apabila mereka akhirnya ditahan sepasukan anggota trafik berhampiran Kilometer 79.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di Muda, jam 5.30 petang Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kedah, Superintendan Chuah Seong Lim, berkata terdahulu kumpulan remaja itu dikesan menghala ke utara oleh pasukannya.

"Sebaik ditahan, polis mengenal pasti banyak kesalahan lain dilakukan oleh kumpulan itu.

"Sebanyak 18 saman dikeluarkan iaitu dua kerana kesalahan tidak mempunyai pelekat P, mengubah suai motosikal (lapan), cermin sisi (tujuh) dan tiada nombor pendaftaran (satu).

"Semua mereka direman selama empat hari dan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya di sini pada Ahad.