KLUANG: Polis sudah merakamkan keterangan 20 individu bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang banduan lelaki di penjara Kluang di sini pada 28 Jun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, individu berkenaan terdiri daripada ahli keluarga, lima banduan dalam sel yang sama, doktor serta pakar dan kakitangan penjara.

"Ketika ini pihak polis masih menunggu satu lagi laporan yang memerlukan masa dan ini akan merumuskan hasil siasatan nanti," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini pada Selasa.

Pada 28 Jun lalu, banduan berkenaan, Kim Shih Keat, 36, dijadualkan bebas daripada penjara namun dikejarkan ke sebuah hospital di sini kira-kira jam 7.30 pagi selepas ditemui pengsan sebelum disahkan meninggal dunia.

Menerusi sidang akbar pada 25 Julai lalu, Kamarul Zaman dilaporkan berkata, polis Johor memberi jaminan siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan berhubung kematian Shih Keat, seorang pemilik kedai kopi.

BACA: Siasatan kes kematian banduan: Jabatan Penjara sedia beri kerjasama

Kamarul Zaman berkata, hasil siasatan kes itu adalah berdasarkan laporan bedah siasat dan patologi, yang menjurus kepada sebab kematian individu berkenaan.

Dalam satu sidang media sebelum itu, ahli keluarga kepada Shih Keat memohon agar laporan bedah siasat dan kimia berhubung kematian lelaki berkenaan, dapat didedahkan segera.

Shih Keat dijadualkan bebas daripada penjara setelah menjalani hukuman penjara selama tujuh hari dan denda RM15,000 kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, pada 22 Jun lalu.

Bagaimanapun, keluarga lelaki berkenaan yang dalam perjalanan untuk mengambil Shih Keat, mendakwa mendapat panggilan pada waktu pagi, hari yang sama daripada pengurus rumah mayat yang memaklumkan dia telah pun meninggal dunia. - Sinar Harian