IPOH: Gerakan pembangunan ummah perlu diberi nafas baharu dengan nilai-nilai kontemporari melalui usaha yang lebih segar, lebih berstrategi, penuh berwawasan serta seiring dengan arus perubahan dan kemajuan yang kian pesat.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, sudah menjadi sunnah, yang lama perlu diperbaharui agar kehendak dan keperluan semasa dapat dipenuhi.  

Sehubungan itu, titah baginda, golongan belia perlu diberikan kepercayaan berada di barisan hadapan, menyuntik dinamisme baharu, berperanan secara ketara sebagai pemangkin pembaharuan (game changer). 

"Kita perlu berani mewasiatkan tanggungjawab lebih besar kepada tenaga muda, agar tenaga muda, berpeluang berperanan lebih aktif dan lebih efektif, menterjemahkan idealisme kepada realiti, berkompas minda yang dahagakan pembaharuan, menyuburkan pemikiran intelek dengan daya analitis, daya kritis, daya kreatif dan daya inovatif, mengetengahkan perspektif yang berbeza dalam menyelesaikan masalah melalui perekayasaan dan pemikiran semula kaedah-kaedah lama yang semakin usang,"  kata baginda.

Baginda bertitah pada Sambutan Maulidur Rasul 1444 Hijrah peringkat negeri Perak di Dewan Banquet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, pada Ahad.

Titah baginda, Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam membimbing belia agar sentiasa taat kepada Allah, pemimpin, sayang kepada negara, berakhlak mulia, menjaga kesihatan akal, bersih jasmani dalam semua sudut yang membawa kepada kesempurnaan.  

Baginda bertitah, Rasulullah SAW telah meletakkan pemuda di kedudukan istimewa serta membimbing dan mencorakkan mereka agar bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Baginda memberi contoh beberapa nama seperti Sayidina Abu Bakar memeluk Islam ketika berusia 38 tahun dan Sayidina Umar al-Khattab memeluk Islam ketika berusia 28 tahun.

Malah, titah baginda, ada di antara mereka yang diberi tanggungjawab penting seperti Itab bin Usaid yang dilantik menjadi pemimpin kota Mekah ketika berusia 21 tahun dan Usamah bin Zaid dilantik memimpin pasukan tentera untuk menentang Kerajaan Rom di Syam ketika berusia 18 tahun.

Titah Sultan Nazrin, ramai pemuda berusia di bawah 30 tahun menjadi pengikut awal Nabi Muhammad dan berada di barisan hadapan, gigih memperjuangkan dakwah Islamiah, membawa panji-panji Islam, berperanan sebagai panglima untuk memimpin kaum Muslimin.