Maut ditikam rakan gara-gara tuntut hutang

Dewi Nur Harasha Alias
September 16, 2019 10:44 MYT
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah selepas ditikam di dada kanan. - Foto ihsan pembaca/media sosial
Seorang lelaki maut ditikam rakannya dalam kejadian berhampiran menara jam di hadapan Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang, malam Isnin.
Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, mangsa, Mohamad Nurulhudin Ismail, 31 meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah selepas ditikam di dada kanan.
Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa datang bertemu rakannya kerana mahu menuntut hutang.
Bagaimanapun berlaku pertengkaran antara mereka menyebabkan suspek berang dan terus menikam mangsa di dada kanan.
Menurut sumber, tikaman itu menyebabkan mangsa rebah dan suspek bersama seorang lagi rakannya kemudian melarikan diri.
Suspek kemudian membuang pisau yang digunakan berhampiran sebuah restoran kira-kira 70 meter dari tempat kejadian.
Pisau sepanjang 28 sentimeter itu ditemui seorang wanita yang kemudian menyerahkannya kepada polis manakala sarung senjata itu ditemui berhampiran lokasi kejadian.
Sementara itu, semakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) juga mendapati suspek yang berbaju merah menikam mangsa dan terus melarikan diri bersama seorang lagi rakannya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang mengesahkan kejadian itu.
Katanya, polis sudah mengenal pasti identiti dua suspek terbabit yang berusia 33 dan 35 tahun dan kini sedang memburu mereka.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
#kes bunuh #Kompleks Bukit Jambul #maut ditikam rakan #Mohamad Nurulhudin Ismail #Polis Daerah Timur Laut #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #tikam #tuntut hutang