Maut kebakaran: 'Anak-anak minta baju raya warna hitam' - Ibu

Sinar Harian
Mac 30, 2023 06:02 MYT
Nabila kelihatan sebak dan mencium baju tadika anaknya yang terkorban dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Sabak Awor, Muar pada malam Rabu. - Foto Sinar Harian
MUAR: Ibu kepada empat beradik yang maut dalam kebakaran rumah di Kampung Sabak Awor terkilan tidak dapat memenuhi hasrat anaknya yang mahu baju raya berwarna hitam.
Nabila Sedu, 31, dilihat mencium baju tadika salah seorang anaknya sepanjang berada di perkarangan bilik forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar bersama suaminya, Thein Ko Htut, 30.
Ketika ditemui, Nabila memberitahu keempat-empat anaknya mahu memakai baju raya berwarna hitam pada 1 Syawal.
"Anak-anak ada beritahu, mereka semua hendak pakai baju raya berwarna hitam," katanya.
Bagaimanapun usaha untuk mendapatkan komen lebih lanjut tidak berjaya kerana Nabila dan suaminya tergesa-gesa meninggalkan pekarangan bilik forensik.
Nabila dan suaminya, Thein Ko Htut yang merupakan warga Myanmar sudah tinggal di Muar sejak empat tahun lalu, di mana Thein Ko bekerja sebagai pembantu kedai makan.
Empat beradik ditemui maut dalam bilik air
Sebelum itu, empat beradik berusia antara tiga hingga lapan tahun terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan dilaporkan maut dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor, pada kira-kira jam 7.49 malam Rabu.
Pasangan adik-beradik tersebut dikenali sebagai Fatihah Aisyah, 3, Mustakim, 4, Mohd Hakim, 6, dan Puteri Aisyah Tenko To, 8, maut dalam kejadian berkenaan. -- Sinar Harian
#empat beradik maut #kebakaran Muar #baju raya hitam #Kampung Sabak Awor