KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengarahkan semua syarikat penerbangan mempertingkatkan pengurusan gangguan penerbangan dengan serta-merta sebagai persediaan jangkaan peningkatan kapasiti penerbangan dan trafik penumpang semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Mavcom dalam kenyataan hari ini turut mengingatkan syarikat penerbangan terhadap kewajipan mereka kepada pengguna di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) dan menggesa supaya syarikat penerbangan menyelesaikan isu dialami penumpang berikutan isu gangguan penerbangan yang berlaku baru-baru ini.

"Walaupun syarikat penerbangan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk mengendalikan gangguan penerbangan, pengurusan gangguan itu perlu diperkukuhkan lagi dan memerlukan perhatian segera.

"Oleh itu, keperluan baharu berkenaan bertujuan menangani kebimbangan orang ramai mengenai pengurusan pengendalian penundaan dan pembatalan penerbangan oleh syarikat penerbangan terutamanya semasa musim cuti perayaan, berikutan jangkaan peningkatan perjalanan udara," menurut kenyataan itu.

Mavcom juga mengarahkan syarikat penerbangan untuk mengerahkan Pasukan Pengendali Penundaan bagi penerbangan yang ditunda selama dua jam atau lebih dan kakitangan syarikat penerbangan terlibat mesti diberi kuasa untuk bertindak dan harus membantu pengguna di semua lapangan terbang.

"Obligasi ini bertujuan menambah baik komunikasi kepada penumpang serta menyediakan penjagaan dan keperluan seperti yang digariskan dalam MACPC," menurut kenyataan itu.

Menjelang Tahun Baharu Cina, Mavcom memberitahu pihaknya telah meluluskan kesemua 291 penerbangan tambahan yang dimohon oleh syarikat penerbangan antara 18 hingga 31 Jan, bagi memenuhi permintaan perjalanan dan menangani isu tambang penerbangan yang tinggi semasa tempoh perayaan itu.

"Oleh itu, syarikat penerbangan perlu bersedia dari segi operasi dan melaksanakan kewajipan mereka secara efektif untuk memastikan keselesaan pengguna sentiasa diutamakan.

"Secara keseluruhan, suruhanjaya telah meluluskan 33.5 peratus penambahan penerbangan domestik bagi 2023 berbanding musim perayaan Tahun Baharu Cina pada 2022," menurut kenyataan itu dan menambah laluan antara Sabah dan Sarawak mempunyai penerbangan tambahan tertinggi iaitu 205.

-- BERNAMA