KUALA LUMPUR: Maxis mengorak langkah lebih terkehadapan menjangkaui peranan tradisionalnya sebagai sebuah syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi.

Kini mereka melancarkan Maxis Business Innovation Centre (MBIC), sebuah ruang emersif yang direka khas untuk memekarkan inovasi dan memperkasa transformasi digital untuk perniagaan.

Terletak di tingkat bawah Menara Maxis yang dahulunya Pusat Khidmat Pelanggannya (yang kini telah berpindah ke tingkat 3 Suria KLCC), MBIC merangkumi ruang luas melebihi 9,000 kaki persegi yang kondusif untuk perniagaan pelbagai saiz merentas industri dengan memanfaatkan kuasa teknologi digital untuk melonjak lebih jauh.

Ia terbahagi kepada empat zon; iaitu Zon Retransformasi, Zon Cerita Tempatan, Zon Makmal dan Pendidikan serta Ruang Acara Hero; yang menempatkan makmal Internet Kebendaan (IoT), auditorium dilengkapi teknologi audio visual terkini, dan ruang bekerjasama.

Pusat ini juga menampilkan kes-kes penggunaan pelbagai industri seperti pembuatan, logistik, pertanian, keselamatan awam dan peruncitan yang dikuasakan oleh ‘cloud’, IoT, kecerdasan buatan (AI), Pembelajaran Mesin dan pelbagai lagi seperti pengawasan pintar 5G untuk tindak balas kecemasan, penyelesaian Pertanian Pintar untuk meningkatkan kecekapan pertanian, Pemenuhan Pintar untuk kecekapan gudang serta penyelesaian e-dagang.

Di tengah pusat ini terletak Meja Pemetaan 3D, memaparkan kota Kuala Lumpur (bukan dalam skala sebenar) sebagai tempat untuk menunjukkan bagaimana penyelesaian Maxis dapat diterapkan dalam Bandar Pintar, contohnya perbandingan rangkaian legasi dengan penempatan SD-WAN untuk menguruskan kesalinghubungan cawangan, Parkir Pintar dan Sekuriti Pintar.

Dalam salah satu makmalnya, MBIC mempamerkan contoh bagaimana penyelesaian Pertanian Pintar Maxis dapat membantu pengusaha ladang durian dan sayur-sayuran memantau pokok dan hasilnya dengan menggunakan AI dan analitik data yang canggih lantas dapat meningkatkan kecekapan sekali gus  melonjakkan produktiviti.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil diberi penerangan tentang penyelesaian Pertanian Digital Maxis.

Turut dipamerkan adalah kes penggunaan Focus Point, salah satu syarikat tempatan terawal meneroka potensi digital dalam kategori cermin mata, yang menerapkan teknologi ‘Virtual Try-On’ untuk memberikan pelanggannya pengalaman mencuba dan membeli di atas talian sama seperti berkunjung di kedai fizikal mereka.

Di MBIC juga ada sebuah kafe Bean Brothers yang menggunakan penyelesaian Maxis Business Retail untuk operasi sehari-harian mereka, sebagai contoh bagaimana ia dapat membantu perniagaan berjalan dengan lebih lancar di kedai mahupun secara atas talian untuk memberikan perkhidmatan yang lebih bermutu kepada pelanggan yang secara langsung menyumbang kepada peningkatan pendapatan.

Memetik kata Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng dalam kenyataan medianya, “MBIC mempunyai potensi besar untuk menggabungkan kuasa teknologi dan inovasi untuk memanfaatkan pelanggan kami dalam perjalanan kembara transformasi digital mereka.

“Kami komited menyokong agenda digital kebangsaan dan berharap dapat memanfaatkan persekitaran imersif ini untuk secara kolektif menghasilkan idea inovatif, penyelesaian serta membawa kejayaan untuk perniagaan-perniagaan di Malaysia.”

Sementara itu Ketua Segmen Korporat dan PKS Maxis, Kevin Lee pula berkata bahawa antara kekangan utama bagi PKS untuk melangkah ke alam digital adalah kurangnya pengetahuan untuk melaksanakannya, namun kini dengan adanya MBIC, segalanya menjadi lebih mudah dan lancar.

“MBIC ini diwujudkan untuk mendidik, mencetuskan kesedaran dan membantu PKS untuk membuat keputusan tentang penyelesaian yang sesuai dan terbaik untuk diterapkan dalam perjalanan digital demi memajukan perusahaan mereka.”

Buat para usahawan yang ingin membuat janji temu dan mempelajari bagaimana Maxis Business dapat menyokong objektif transformasi digital anda, layari www.business.maxis.com.my/digital-solutions/maxis-business-innovation-centre/.

MBIC | Hab pupuk & permudah inovasi perniagaan