KUALA LUMPUR: Sebut sahaja kumpulan MAY terus sahaja akan segar dalam ingatan kumpulan rock tanah air yang boleh disifatkan antara band legenda tempatan yang masih bertahan dalam kalangan artis rock kapak.

Lagu seperti Sendiri, Gadis Bertudung Putih, Sketsa Cinta, Pelayaran, Jemu dan banyak lagi masih kedengaran di radio dan tetap kekal di hati para peminat genre rock di negara ini.

Namun sayangnya, irama lagu itu hanya kekal diingati di telinda peminat, sedangkan, realitinya, semua itu sudah semakin jau dari anggota kumpulan MAY.

Selepas pemergian vokalisnya Mus pada 2019, MAY terus kelam apabila pemain drumnya, Man dan pengganti Mus iaitu AG pula keluar meninggalkan kumpulan itu berkenaan beberapa bulan lalu.

Pelbagai cerita kedengaran tentang pergeseran antara anggota kumpulan yang terkenal dan mula menapak dalam industri hiburan tanah air sejak lebih tiga dekad lalu.

Kisah kehilangan dua anggota itu agak besar impaknya lebih-lebih lagi bagu Man selaku orang lama dan anggota asal kumpulan MAY.

Malah Man dikatakan kini mula menubuhkan bandnya sendiri dengan nama Man X May dan MAY yang masih bersama Yus dan Abu pula telah mencari pengganti untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Ramai peminat tertanya-tanya apa yang sebenarnya berlaku dan ke mana hala tuju MAY sebenarnya selepas ini.

“Sebenarnya MAY tetap ada kerana saya dan Abu masih dalam kumpulan ini. Walaupun Man dan AG telah buat keputusan untuk tidak lagi bersama kami tetapi langkah kami tidak akan terhenti kerana kehilangan mereka.

“Saya tidak nafikan memang ada sedikit perselisihan faham antara kami dan mereka sebelum ini, namun kami menghormati keputusan yang dibuat dan MAY akan meneruskan perjuangan dalam industri rock tanah air,” kata pemain bass May Yus ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 1985 itu kini dianggotai oleh Achai selaku penyanyi dan Wak Yus selaku pemain drum.

“Mereka ini sebenarnya telah melalui proses saringan sebenarnya dan mereka berdua bukanlah asing dalam dunia hiburan rock tanah air. Wak Yus misalnya sudah biasa dengan muzik kami dan dia merupakan orang yang selalu dijemput oleh pelbagai kumpulan muzik untuk sesi rakaman dan sebagainya.

“Tapi untuk vokalis Achai pula kita buat sesi temuduga dengan menyuruhnya menyanyikan 10 buah lagu dengan gaya dan suaranya tersendiri. Ternyata dia mempunyai kekuatan vokal yang baik dan berbeza dari penyanyi MAY sebelum ini selain mampu menyerap irama MAY yang kita kehendaki,” jelas Yus lagi.

Menurut Yus lagi, sebetulnya MAY telahpun merakamkan single baharu mereka ketika AG dan Man masih lagi bersama-sama kumpulan itu.

“Kita telah selesai (rakam single baharu) sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Namun oleh kerana pengunduran mereka berdua menyebabkan proses untuk keluarkannya terbantut.

“Sekarang ini kita sedang mengatur perancangan bersama anggota baharu sama ada untuk menghasilkan lagu baharu ataupun merakamkan semula lagu tersebut,” kata Yus mengenai single bertajuk Anugerah itu lagi.