Mayat dua kanak-kanak lemas ditemui

Astro Awani
Jun 23, 2018 20:47 MYT
Pasukan Bomba dan Penyelamat mengangkat mayat Mohammad Affiq Afnan yang ditemui pada 8.30 malam, di tepi lombong di Taman Suria, Johor Bahru. --fotoBERNAMA
Mayat dua kanak-kanak yang lemas ketika mandi di sebuah lombong tinggal berhampiran sebuah pasar raya di Taman Suria di sini ditemui pasukan mencari dan menyelamat.
Mayat kedua-dua mangsa, Norfifi Natalia Abdullah, 12 tahun, dan Mohammad Affiq Afnan Abdur Razaaq, 9 tahun, masing-masing ditemui pada 6.25 petang dan 8 malam pada Sabtu.
Mohammad Affiq adalah pemengang kad Orang Kurang Upaya (OKU) pembelajaran.
Menurut bapa angkat Mohammad Affiq, Shamsuddin Abdullah, kanak-kanak itu sering bermain dengan rakan-rakannya di kawasan flat berhampiran lokasi kejadian.
"Selalunya dia (Mohammad Affiq) bermain di bawah blok saja. Kemudian, dalam jam 6 petang, saya dimaklumkan rakan-rakan anak saya yang terselamat, bahawa anak saya mungkin mati lemas.
"Ketika saya ke lokasi kejadian, anak saya masih belum ditemui sehinggalah malam tadi," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Sabtu, dua mangsa berkenaan hilang selepas mandi bersama lima lagi rakan mereka.
Lima lagi mangsa yang selamat ialah adik Norfifi - Mohd Danish Ashraf, 10 tahun, serta empat rakan mereka yang lain iaitu Rizman Ismail, 13 tahun, Ghismawi Ismail, 9 tahun, Muaz Ibrahim, 9 tahun, dan Mohd Danish Omar, 10 tahun.
#hilang #Kanak-kanak #lemas #mangsa #mayat #OKU