Mayat kanak-kanak ditemui selepas dua hari hilang di sungai

Radhi Muslim
Januari 17, 2022 07:55 MYT
Mohd Ridwan Suprianto dilaporkan hilang ketika mandi di sebatang sungai dekat ladang kelapa sawit di Beluran pada Sabtu lepas. - Ihsan keluarga mangsa
BELURAN: Mayat kanak-kanak lelaki yang dilaporkan lemas ketika mandi di sungai dalam sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Kampung Balaban Jaya, akhirnya ditemui, pada Isnin.
Mangsa, Mohd Ridwan Suprianto Mohd Aidil, empat tahun, ditemui kira-kira jam 9.50 pagi oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Rastam Keladi berkata, mayat ditemui sekitar satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudiannya ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Pada Sabtu seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan lemas ketika mandi di sungai berkenaan.
SAR kemudiannya diaktifkan termasuk menggunakan khidmat Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM Sabah.
#lemas #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #Kanak-kanak #jatuh sungai