BATU PAHAT: Mayat seorang lelaki yang lengkap berpakaian ditemui terapung di tepi Jeti Zon Maritim Batu Pahat di sini pada Rabu.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, mayat tanpa identiti itu ditemui anggota Maritim yang sedang membuat rondaan di sekitar kawasan jeti pada jam 8.20 malam.

"Zon Maritim Batu Pahat telah menghubungi balai polis berhampiran bagi memaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut.

"Sekitar jam 9 malam, enam anggota dari Balai Polis Batu Pahat tiba di lokasi dan membuat pemeriksaan terhadap mayat berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, mayat kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail di sini untuk tindakan selanjutnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta segera menghubungi hotline Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian (07-4344020) atau talian kecemasan MERS 999 segera.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.