KOTA BHARU: Mayat seorang lelaki ditemukan terapung dalam tali air di Kampung Kubang Khacang, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan telah menjumpai mayat di dalam tali air berhampiran sawah padi pada jam 12.20 tengah hari.

"Susulan daripada maklumat tersebut pihak kami ke tempat kejadian dan menemui mayat seorang lelaki.

"Siasatan awal mendapati lelaki tersebut berusia 45 tahun, tinggal di Kampung Tambak Banggu serta tidak mempunyai rekod lampau," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat.

Ujarnya, hasil bedah siasat yang dijalankan didapati punca kematian adalah lemas.

Mohd Rosdi memberitahu, walaubagaimanapun buat masa ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan. -Sinar Harian