BAGAN SERAI: Mayat seorang nelayan tempatan yang terjatuh ke laut di perairan Kuala Kurau, dekat sini, dua hari lalu, ditemukan pagi ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mayat dipercayai milik Ong Boon Lai, 40, ditemui oleh nelayan sekitar 7 batu nautika dari muara Kuala Kurau.

“Mangsa dibawa ke daratan dengan menggunakan bot nelayan ke Pengkalan Pesiaran Laut Kuala Kurau,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu diaktifkan kira-kira jam 9.45 pagi pagi Selasa susulan laporan polis yang dibuat majikan mangsa.

Mangsa bersama-sama tiga lagi rakannya keluar ke laut dengan menaiki sebuah bot nelayan dan disyaki terjatuh pada kedudukan 0.6 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau.

Kehilangan mangsa disedari oleh rakan-rakannya kira-kira jam 6.30 pagi sebelum melaporkannya kepada majikan mereka.

Selain JBPM, operasi SAR itu turut disertai Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, Jabatan Perikanan dan komuniti nelayan setempat.