Mayat Pelajar Komuniti yang lemas di Taman Negara Endau-Rompin ditemui

Bernama
Jun 11, 2014 01:15 MYT
Mayat pelajar semester akhir Kolej Komuniti Rompin yang hilang ketika mandi ditemui
Mayat pelajar semester akhir Kolej Komuniti Rompin yang hilang ketika mandi bersama adik dan dua rakannya di Taman Negeri Endau–Rompin pada petang Ahad lepas ditemui pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya berkata mayat Sheikh Safwan Sheikh Ahmad Azudeen, 20, ditemui pasukan Bomba dan Penyelamat di kawasan Jeram Tengku Puan pada 12.55 tengah hari.
Beliau berkata pasukan Bomba dan Penyelamat melibatkan Unit Skuba Bomba dari Kuantan dan Temerloh serta Unit Pengesan Anjing (K9) Bomba berjaya mengesan mayat mangsa di Jeram Tengku Puan kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang.
"Mangsa mungkin dibawa arus deras disebabkan hujan lebat di kawasan berkenaan pada petang Ahad dan Isnin," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mayat pelajar itu dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat.
#remaja hilang #Taman Negara