BERA: Mayat pertama mangsa yang hilang dibawa arus deras Sungai Triang dekat Kampung Kerayong di sini berjaya ditemukan pada jam 10.30 malam Rabu.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa, Muhammad Nik Iqmal Shah Ismail, 15, ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Menurutnya, mayat diserahkan kepada pihak polis bagi tujuan pengecaman identiti, sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HoSHAS) untuk bedah siasat.

"Sementara itu, mayat Muhammad Danial Isryad Norazlan, 11, ditemukan timbul di permukaan sungai pada jam 1.30 pagi.

“Mayat ditemukan oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa lepas dua rakan, Muhamad Nik Iqmal Shah Ismail, 15 dan Muhammad Danial Isryad Norazlan, 11 dikhuatiri lemas selepas hilang dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Triang di sini.

BACA: Remaja, kanak-kanak dikhuatiri lemas dihanyut arus Sungai Triang

Pemangku Ketua Polis Daerah Bera, N, Kumaran melaporkan, kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu berlaku ketika mangsa bersama enam lagi rakannya mandi menggunakan pelampung tayar di sungai berkenaan.