KUALA KANGSAR : Mayat seorang wanita tanpa identiti ditemukan dalam keadaan terbakar di tepi Sungai Kuala Kangsar, Kampung Talang Hulu, di sini pada petang Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat itu pada jam 3.05 petang oleh orang awam.

Menurutnya lagi, hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa telah mati dibunuh dan dibakar di lokasi sama.

"Polis Daerah Kuala Kangsar hadir ke lokasi kejadian dan mengesahkan penemuan berkenaan.

"Unit Forensik (D10) dan Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak turut tiba di lokasi bagi membantu siasatan.

"Daripada penelitian awal berdasarkan fizikal, mangsa dipercayai seorang wanita berbangsa India. Bagaimanapun identiti sebenar mangsa belum dikenal pasti," katanya dalam kenyataan pada Selasa malam.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar bagi proses bedah siasat.

Ujarnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Justeru beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian atau kehilang ahli keluarga, diminta untuk menghubungi balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kes, ASP Mohd Subkey Alias di talian 013-928 5436.