JOHOR BAHRU: Wanita yang terjatuh ke dalam laut bersama anaknya di Jalan Danga Bay berhampiran Country Garden di sini, semalam, ditemui lemas hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd Suhaimi Jamal berkata, wanita berusia  37 tahun itu ditemui nelayan dalam keadaan terapung pada jam 1.40 tengah hari.

Katanya, mayat wanita itu ditemui pada jarak satu kilometer dari lokasi dia dikatakan tergelincir ke dalam laut petang semalam.

"Mayat wanita itu dibawa naik ke darat oleh pihak bomba sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Nyawa anda berharga, dapatkan bantuan.

Semalam, media melaporkan anak lelaki wanita itu yang berusia 16 tahun ditemui lemas jam 8.43 malam, manakala dia hilang selepas terjatuh ke dalam laut.

Saksi memberitahu, kedua-dua mereka sebelum itu terjun ke dalam laut dari tebing setinggi 9.14 meter, kira-kira jam 3.35 petang.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Lim Jit Huey berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah dalaman keluarga.



*Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-76272929 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma.