ADUN-ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor diseru membuat kenyataan terbuka untuk menarik diri dari sebarang pencalonan oleh mana-mana pihak untuk mengisi kerusi Menteri Besar Selangor.

Ia sebagai menghormati keputusan parti itu dan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang telah membuat keputusan sebulat suara bahawa presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah calon tunggal Pakatan Rakyat bagi jawatan itu.

Ia disuarakan dalam satu kenyataan kepada Astro AWANI oleh Naib Presiden PKR Rafizi, Ramli yang berkata keputusan ini perlulah dihormati seperti mana yang telah ditunjukkan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum ini.

Rafizi menambah, kenyataan terbuka oleh setiap ADUN Keadilan di Selangor yang menyokong pencalonan Wan Azizah dan menarik diri dari sebarang pencalonan oleh mana-mana pihak yang lain adalah lambang kesetiaan mereka kepada parti dan perpaduan parti itu dalam melawan UMNO atau Barisan Nasional.