MB Selangor, Timb Menteri Kesihatan disuntik vaksin COVID-19 hari ini

Astro Awani
Februari 25, 2021 08:08 MYT
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjadi individu terawal di Selangor menerima suntikan vaksin COVID-19. - Foto Pejabat Exco Selangor
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjadi individu terawal di Selangor menerima suntikan vaksin COVID-19.
Turut serta dalam proses suntikan yang dilakukan di Hospital Shah Alam itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor serta ahli Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Selangor.
Ia sekali gus menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri Selangor.
"Selangor mengulangi tekad untuk mendapatkan bekalan vaksin untuk negeri Merah Kuning yang bertuah bagi melengkapi usaha kerajaan persekutuan dengan menyediakan dos yang secukupnya untuk semua warga Selangor, terutamanya mereka yang berisiko tinggi dan para pekerja di sektor yang menjadi nadi ekonomi negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alhamdulillah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri bermula hari ini. Seramai 66,690 petugas baris hadapan terdiri dari petugas perubatan dan keselamatan akan menerima vaksin ini bagi fasa pertama di Selangor. #LindungDiriLindungSemua #SelangorGempurCOVID19 pic.twitter.com/h5sCFkT8Wq

— Amirudin Shari (@AmirudinShari) February 25, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Jumlah keseluruhan petugas barisan hadapan di Selangor yang bakal menerima vaksin untuk fasa pertama adalah sebanyak 66,690 orang.
Sebelum ini, Amirudin berkata, kerajaan Selangor menjangkakan dua hingga lima juta dos vaksin COVID-19 yang dibeli bakal diperoleh selewat-lewatnya pada Mei atau Jun hadapan.
Pembelian semua vaksin itu dianggap penting bagi membantu kelancaran program imunisasi tersebut.
Menurut beliau, langkah itu bertujuan memastikan kesihatan rakyat Selangor terus terjamin dan memastikan bekalan vaksin berkenaan mencukupi selain keperluan kepada rakyat serta pekerja asing kerana industri di negeri ini memerlukannya.
#Menteri Besar #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #vaksin #COVID-19 #Amirudin Shari #shah alam #pekerja asing