MBS sasar lahirkan 10,000 usahawan baharu di Sabah dalam tempoh tiga tahun

Mirlen Axtius
Julai 16, 2022 07:38 MYT
KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah menetapkan sasaran untuk melahirkan lebih 10,000 usahawan baharu di negeri itu dalam tempoh tiga tahun.
Presidennya, Abqaree Fawwaz Abekan berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi satu memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani MBS, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Syarikat Dahlia Sentosa.
Malah jelasnya, pihaknya turut mempunyai program dalam meningkatkan atau menaik taraf syarikat enterprise kepada sendirian berhad dalam kalangan usahawan belia tempatan.
“Kita akan cuba melahirkan atau cuba menaik taraf beberapa syarikat Enterprise kepada Sdn Bhd melalui program-program yang telah drancang oleh syarikat Dahlia Sentosa itu sendiri.
“Kita sasarkan dalam dua hingga ketiga tahun depan ini kita boleh melahirkan lebih 10,000 usahawan baru,” katany.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menandatangani MOU dalam Majlis Makan Malam Bersama Pimpinan Belia Malaysia di Sabah International Convention Centre (SICC).
Dalam masa yang sama, Abqaree menyambut baik serta meraikan kedatangan wakil belia dari Semenanjung untuk bersama-sama menyambut Hari Belia Negara yang sedang berlangsung di Pekan Tuaran, Sabah.
#Majlis Belia Sabah #Usahawan baharu #Usahawan Belia #Sabah