MCA berazam memastikan kerusi Parlimen Gopeng kembali menjadi milik parti itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Beliau berkata Parlimen Gopeng merupakan antara kubu kuat MCA dari tahun 1986 hingga 2004 yang terlepas ke tangan pembangkang pada PRU 2008.

Katanya kemenangan itu tidak mustahil untuk dicapai jika semua jentera bekerja keras dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon serta parti.

"Pada tahun 1986, bekas Presiden MCA, Datuk Seri Tan Koon Swan menang di Parlimen Gopeng, jejak itu kemudiannya diteruskan oleh Tan Sri Dr Ting Chew Peh hingga tahun 2004 iaitu pada PRU11.

"Jadi, tak mustahil kemenangan boleh kita capai sekiranya ada usaha yang jitu melibatkan sokongan daripada ahli parti dan masyarakat sekitar Parlimen ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan MCA Gopeng di di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ong berkata MCA akan melipatgandakan usaha dan memperkasakan jentera parti bagi mengembalikan sokongan pengundi terutama kaum Cina dalam menghadapi PRU14.

"Kita berharap PRU14 akan menjelmakan sesuatu yang menggembirakan kepada MCA sama ada di peringkat negeri atau pusat," katanya.

--BERNAMA