KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang memuktamadkan proses pemberian tender bagi perkhidmatan capaian jalur lebar menerusi satelit di 839 lokasi terpencil di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dalam kenyataan semalam memaklumkan penilaian tender daripada pemegang lesen pemberi perkhidmatan yang layak akan dimulakan sebaik sahaja permohonan ditutup.

"Ia merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menjayakan pembangunan ke arah transformasi digital negara menerusi Jendela (Pelan Jalinan Digital Negara) dan inisiatif MyDigital yang merupakan teras bagi merealisasikan aspirasi negara digital, seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama menjelang tahun 2030," katanya dalam kenyataan itu.

Katanya kawasan itu terdiri daripada 178 penempatan Orang Asli di Kelantan, Pahang, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor, 138 tempat di pedalaman Sabah dan 523 lokasi di pedalaman Sarawak.

Menurutnya kawasan berkenaan terletak jauh daripada kemudahan rangkaian telekomunikasi sedia ada dan sebahagiannya sukar dilalui oleh jentera berat disebabkan keadaan bentuk muka bumi.

Saifuddin berkata pelaksanaan Jendela bagi tujuan berkenaan amat penting untuk merapatkan jurang digital agar tiada yang ketinggalan dalam arus perubahan dan bagi membolehkan setiap rakyat terlibat dalam ekonomi digital.

"Dengan capaian internet yang menyeluruh dan berkualiti, semua rakyat Malaysia dapat membina kemahiran digital serta menikmati manfaat transformasi pendigitalan ke arah Revolusi Industri 4.0," katanya.

-- BERNAMA