KUALA LUMPUR : Pelancaran satelit terbaharu MEASAT-3d yang bakal dilancarkan awal pagi 23 Jun 2022 bakal membuka ruang dalam menambah baik sistem sedia ada.

Ini termasuk meningkatkan faktor kebolehpercayaan kepenggunaan internet, jumlah pengguna serta kestabilan rangkaian di kawasan luar bandar, kata Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) dan Pengerusi Eksekutif Angkasa-X, Dr Sean Seah.

"Pertama sekali, sambungan internet akan menjadi lebih stabil dan pantas.

"Dengan jalur lebar yang lebih luas, ini bermakna teknologi satelit ini akan dapat menyokong lebih ramai pengguna.

"Sekiranya ini berlaku, ia secara tidak langsung akan mengurangkan kos.

"Faktor kebolehpercayaan adalah penting buat mana-mana pengguna internet. Sebagai contoh, anda pasti tidak mahu situasi yang mana anda log masuk dan kemudian dilog keluar. 

"Jadi, kebolehpercayaan adalah penting dan saya fikir dengan penambahbaikan prestasi satelit, lebih ramai pengguna dapat mengakses capaian menerusi satelit ini nanti," katanya.

Beliau berharap dengan adanya satelit ini nanti, lebih ramai pengguna dapat menikmati manfaat yang disediakan selain menepati setiap janji agenda capaian jalur lebar negara.

Dalam pada itu, beliau turut merasakan Malaysia sebuah negara yang ke depan dalam sektor pembuatan teknologi angkasa berbanding negara-negara lain di rantau ini.

"Banyak peluang untuk meningkatkan ketersambungan jalur lebar. Kita amat perlukan teknologi ini terutama buat penduduk di Sabah dan Sarawak.

"Saya merasakan detik ini amat mengujakan terutama dalam fasa pembangunan teknologi angkasa dalam negara.

"Saya sebagai Pengerusi PIKOM dan Pengerusi Eksekutif Angkasa-X, amat mengalu-alukan buatan Malaysia. Saya ingin melihat lebih banyak lagi di masa hadapan dan lebih banyak percaya akan keupayaan negara kita dalam teknologi angkasa. Ini satu langkah yang cukup besar," ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama Agenda AWANI yang disiarkan pada Rabu.

Sempena dengan detik bersejarah pelancaran MEASAT-3d yang dijadualkan pada Khamis, Astro AWANI akan membawakan kepada anda secara langsung pelancarannya dari French Guiana.

Semuanya di saluran 501, platform digital AWANI serta Astro Go!