KUALA LUMPUR: Mekanisme mengenai pemeriksaan kesihatan yang diwajibkan ke atas semua Ahli Dewan Rakyat akan dibincangkan dengan lebih lanjut sebelum makluman diberikan kepada semua ahli.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun telah menerima cadangan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk mewajibkan pemeriksaan kesihatan ke atas semua Ahli Parlimen.

"Dalam memastikan kesejahteraan kesihatan kita semua, Yang Dipertua Dewan Negara (Tan Sri Dr Rais Yatim) dan Yang Dipertua Dewan Rakyat (Azhar) menyokong inisiatif ini.

"Sehubungan itu, mekanisme pemeriksaan kesihatan akan dibincangkan dengan lebih lanjut dan akan dimaklumkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat," katanya menerusi pemakluman di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 17 Mac lepas, Rais memaklumkan beliau menyambut baik cadangan Khairy bagi mewajibkan Ahli Dewan Negara menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali.

Cadangan itu dikemukakan rentetan kajian yang dibuat dari Julai 2018 hingga November 2020 melaporkan, kes penyakit tidak berjangkit (NCD) semakin meningkat terutama penyakit jantung, darah tinggi dan kanser.

-- BERNAMA