MELAKA: Melaka dijangka mencapai 55.2 peratus kadar liputan rangkaian 5G menjelang hujung Disember ini berbanding 46 peratus ketika ini, kata Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin.

Beliau berkata sehingga 15 Nov lepas, sebanyak 32 daripada 59 lokasi di daerah Melaka Tengah telah mempunyai akses perkhidmatan 5G di bawah Fasa Satu Pelan Pelaksanaan 5G Negeri Melaka.

Katanya lokasi berkenaan melibatkan kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi antaranya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput dan Duyong.

"Secara keseluruhan, sebanyak 133 lokasi di sekitar negeri Melaka telah dikenal pasti akan menerima liputan 5G secara berperingkat dalam dua fasa.

"Bagi fasa satu, sebanyak 59 lokasi di daerah Melaka Tengah akan menerima akses rangkaian 5G manakala bakinya 74 lokasi lagi di daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah dijangka selesai menerima liputan berkenaan secara berperingkat menjelang akhir tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Walkabout dan Prapelancaran 5G@Melaka di Taman Krubong Jaya di sini semalam.

Rais berkata Melaka merupakan antara negeri di Malaysia khususnya di zon selatan yang terawal menerima liputan 5G secara meluas menerusi perancangan dan pembangunan infrastruktur oleh Digital Nasional Berhad (DNB) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Melaka ICT Holdings Sdn Bhd dan rangkaian syarikat telekomunikasi.

Beliau berkata pencapaian kadar liputan yang tinggi itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan segera infrastruktur rangkaian telekomunikasi khususnya akses 5G.

"Pelaksanaan 5G akan dipercepatkan melalui penggunaan 'street furniture' seperti penggantian tiang lampu jalan sedia ada terutamanya di kawasan berkepadatan tinggi dan kawasan tumpuan pelancong.

"Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri ke arah mentransformasikan pembangunan masyarakat dan ekonomi digital yang mampan untuk rakyat Melaka," katanya.

-- BERNAMA