MELAKA: Melaka masih mengekalkan harga rumah paling rendah di negara ini dengan indeks harga purata RM181,203 seunit pada suku pertama tahun 2022 berbanding negeri-negeri lain.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata manakala purata harga semua rumah di negeri ini ialah RM206,262 manakala harga rumah teres pula ialah RM181,428 untuk tempoh yang sama.

"Sehingga kini juga terdapat sebanyak 211,049 unit kediaman semasa di negeri ini, 21,511 unit dalam pembangunan dan 11,768 unit dalam perancangan.

Bagi unjuran keperluan sehingga tahun 2030, kerajaan negeri menyasarkan 88 peratus pemilikan rumah daripada isi rumah meliputi 244,508 unit dan setakat ini peratusan pemilikan rumah di Melaka ialah 83.5 peratus, " katanya kepada pemberita di Peringgit di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir merasmikan Ekspo Perumahan dan Hartanah Melaka (MAPEX) 2022 yang turut dihadiri Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata berikutan harga bahan binaan yang telah meningkat hampir 40 peratus sejak tahun lepas ia dijangka memberi kesan secara langsung kepada kenaikan harga rumah pada masa akan datang.

Sementara itu beliau berkata ekspo anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Melaka yang berlangsung 19 hingga 24 Julai itu turut disertai PR1MA dan 22 pemaju perumahan swasta tempatan yang mempromosikan sebanyak 40 projek pembangunan perumahan di negeri ini.

"Ini merupakan satu platform terbaik kepada pembeli untuk memilih, membeli dan memiliki rumah dan hartanah idaman berdasarkan kemampuan dan cita rasa masing-masing.

"Saya harap ekspo MAPEX 2022 kali ini mencapai objektif yang disasarkan sekali gus memberi impak positif dalam merancakkan ekonomi sektor perumahan di Melaka," katanya.

Katanya dengan kerjasama kerajaan dan REHDA Melaka telah mencatatkan transaksi penjualan rumah sebanyak 7,165 unit rumah bernilai RM3.48 bilion menerusi Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2019 dan HOC 2020/2021 di negeri ini.

-- BERNAMA