ALOR GAJAH: Kerajaan negeri Melaka sedang mempertimbangkan untuk mewartakan Kampung Paya Mengkuang, Masjid Tanah sebagai kawasan wabak Demam Babi Afrika (ASF).

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, berkata ia antara langkah untuk mengawal penyakit berkenaan daripada merebak.

Beliau juga berkata, tahap biosekuriti rendah dan kedudukan ladang penternakan yang berdekatan menjadi antara faktor penularan ASF di kawasan berkenaan.

"Penyakit ASF mudah merebak melalui cairan atau rembesan daripada ternakan terjangkit yang tercemar kepada pakaian, peralatan atau kenderaan.

"Sekiranya langkah biosekuriti ladang tidak diamalkan dengan baik, wabak itu akan terus merebak.

"Kita mendapati, tahap biosekuriti ladang babi di Paya Mengkuang itu adalah rendah dan kedudukannya yang berdekatan antara satu sama lain juga boleh menyebabkan penularan jangkitan ASF," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

BACA: 1,864 ekor babi ternakan ladang komersial di Paya Mengkuang positif ASF dimusnahkan - JPV

Semalam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor, berkata jabatan itu telah melupuskan sebanyak 1,864 ekor babi yang disahkan positif ASF di Paya Mengkuang.

Katanya, semua babi itu merupakan ternakan dari 16 ladang komersial di kawasan berkenaan.

Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di Paya Mengkuang mendapati penguat kuasa JPV membuat pemantauan 24 jam bagi memastikan tiada penyeludupan keluar babi dari kawasan berkenaan.