Kerajaan negeri Melaka memperuntukkan insentif berjumlah RM399,750 kepada 533 nelayan di daerah Melaka Tengah yang terjejas ekoran aktiviti penambakan laut dengan peruntukan RM750 setiap seorang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata insentif yang merupakan bayaran fasa keempat itu akan diserahkan kepada nelayan terlibat pada 19 dan 20 Mei ini.

"RM750 ini adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan insentif berjumlah RM3,000 yang dibayar secara berperingkat dan pembayaran pada bulan ini ialah fasa terakhir.

"Ia bagi meringankan beban kewangan ditanggung nelayan memandangkan kawasan nelayan terlibat berhampiran dengan projek penambakan yang secara tidak langsung menjejaskan aktiviti tangkapan hasil laut," katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Bantuan kepada Keluarga Nelayan di sini, hari ini.

Pada majlis itu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan, seramai 150 nelayan dari Kamung Hailam Tanjung Kling, Pantai Jaring dan Pantai Tanah Merah menerima kit bekalan makanan bernilai RM50 seorang.

Sementara itu, Norhizam berkata nelayan yang belum mempunyai lesen nelayan disaran segera tampil memberi nama kepadanya untuk tindakan lanjut bagi proses permohonan pendaftaran di peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Beliau berkata setakat ini, Melaka hanya mempunyai 1,126 nelayan berlesen manakala dianggarkan kira-kira 300 nelayan tidak berlesen.

"Lesen ini penting bagi membolehkan mereka menangkap ikan secara sah dan mendapatkan pelbagai insentif yang disediakan kerajaan seperti elaun sara hidup nelayan dan subsidi minyak diesel.

"Kita akan cuba sebaik mungkin untuk membantu golongan ini yang kebanyakan terdiri daripada mereka yang sudah pencen tetapi mempunyai kekuatan untuk turun ke laut tetapi mereka perlu tampil ke hadapan," katanya.

Dalam pada itu, nelayan Kampung Hailam, Abu Bakar Ja'par, 65, berkata PKP memberi peluang untuk golongan nelayan berbakti kepada rakyat dan negara dalam usaha memastikan bekalan makanan khususnya hasil laut mencukupi.

Beliau berkata bantuan kit makanan yang diterima hari ini secara tidak langsung mengurangkan beban kewangan yang ditanggung dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mencerminkan keprihatinan pemimpin terhadap nasib golongan nelayan.

-- BERNAMA