MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan RM900,000 bagi melaksanakan projek pembinaan ban di Teluk Berembang Lubok China, di Alor Gajah dan Kampung Lanchang serta Parit Penghulu di Jasin bagi mengatasi masalah banjir.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka Abd Hakim Hamzah berkata kesemua projek itu akan dilaksanakan secepat mungkin berikutan terkesan dengan gelombang pertama dan kedua banjir baru-baru ini.

"Di Teluk Berembang jumlah peruntukan adalah RM500,000 bagi kerja baik pulih selepas ban sepanjang 100 meter pecah pada banjir gelombang pertama dan kini disambung semula kira-kira seminggu lalu setelah Sungai Rembau surut.

"Bagi Parit Penghulu sebanyak RM200,000 diperuntukkan untuk projek yang bermula esok melibatkan kawasan di Jalan Janda Berhias dan Kampung Parit Putat Benteng, manakala di Kampung Lanchang akan dilaksanakan selepas air surut sepenuhnya dengan jumlah peruntukan RM200,000," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Hakim berkata pihaknya mencadangkan pembinaan ban serta saluran air keluar ke parit untuk mengurangkan risiko banjir sekiranya hujan, di sekitar kawasan Kampung Lanchang dan Parit Penghulu.

Abd Hakim berkata jabatan itu juga telah melakukan kerja-kerja pengepaman air banjir genang di Kampung Lanchang bermula dua hari lepas susulan dinaiki air pada 2 Jan.

Katanya proses pengepaman air tidak dapat dilakukan sebelum ini kerana air tidak dapat mengalir keluar disebabkan paras air sungai yang melepasi tebing.

"Banjir genang di kawasan ini juga disebabkan kawasan rumah di sini yang lebih rendah daripada jalan berdekatan selain berhampiran sungai, namun sejak kerja pengepaman dilakukan di Kampung Lanchang air mulai surut," katanya.

-- BERNAMA