AYER KEROH: Melaka akan mewujudkan semula jawatan Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi memantapkan lagi struktur pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang baharu dibentuk di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pengumuman lantikan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu akan dilakukan esok, melibatkan wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Lantikan Timbalan Exco yang akan (diumumkan) komposisinya nanti cantik serta menarik, dan meletakkan semua ADUN berperanan untuk bersama-sama dengan Exco yang dilantik di bawah pentadbiran saya, menjadi lebih mantap.

“Saya akan melantik Timbalan Exco dan saya akan umumkan esok selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri,” katanya hari ini.

Ab Rauf berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia 10 Exco yang berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini.

Terdahulu, 10 Exco mengangkat sumpah dengan tujuh ADUN dilantik semula menyertai barisan yang baharu itu dalam membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan.

Pembentukan itu terdiri daripada sembilan ADUN BN dengan dua muka baharu serta seorang ADUN PH.

Mengulas lanjut, beliau yang juga ADUN Tanjung Bidara berkata, pendekatan mewujudkan jawatan Timbalan Exco bukan merupakan suatu pembaziran.

Sebaliknya, katanya, beliau mahukan semua ADUN BN dan PH dapat menyumbang peranan bersamanya dalam membawa Melaka ke peringkat yang lebih baik.

“Lain dahulu, lain sekarang. Ia bergantung kepada cara kita. Dan zaman saya uruskan ketika ini, lebih sesuai meletakkan Exco dengan mengadakan Timbalan Exco, untuk bekerjasama membangunkan Melaka.

“Bagi saya, ketika ini saya memerlukan semua wakil rakyat, untuk menunjukkan bahawa, tidak ada wakil rakyat yang tidak diberikan peranan untuk bersama saya majukan Melaka,” tambahnya.